Latest Post

AZAN KECEWA TAPI LEMAH

Tuesday, January 26, 2010 , Posted by SYED HUSSAIN IDROS at 3:43 PM

Tindakan YB Azan dengan kenyataan medianya adalah dianggap ‘ibarat menepuk air di dulang akan memercik ke muka sendiri’. Yang dikata adalah partinya sendiri yang mana beliau masih mewakili ahli parlimen Indera Mahkota. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula sebuah parti yang termuda di kalangan parti Pakatan Rakyat. Untuk memantapkan sesebuah organisasi sudah tentu dalam prosesnya akan berlaku perbezaan pendapat apatah lagi sikap dan tingkahlaku di kalangan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpinnya. Inilah yang dinamakan manusia di mana rambut sama hitam akan tetapi hati dan nawaitu berlainan.

Seharusnya seseorang pemimpin itu apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti dan atau tidak lagi diperlukan khidmatnya maka jalan yang terbaik adalah untuk mengundurkan diri secara terhormat. Tidak ada sesiapa di dunia ini akan kekal selama-lamanya. Apa perlunya mengadakan sidang media bagi memaklumkan perletakan jawatan melainkan mempunyai agenda sebaliknya. Apakah beliau sedar bahawa tindakannya itu memburukkan imej parti yang mana beliau masih ahli dan mewakili Indera Mahkota.

MPN Pahang juga harus memikirkan semula matlamat parti dan perlu mengambil langkah yang bijak supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi. Pemimpin juga perlu mendengar dan mengambil kira pendapat dan pandangan di kalangan ahli. Perjuangan adalah sebagai satu entiti dan bukan secara peribadi.

Bagi mengatasi semua permasalahan di dalam PKR, pemilihan di kesemua peringkat harus di laksanakan dengan kadar segera. Biarlah ahli-ahli yang menentukan siapakah yang layak dan harus memimpin parti dari Cabang hingga ke Pusat. Hanya disebabkan akrab dan rapat dengan pimpinan Pusat tidak bererti seseorang itu layak dan berkaliber untuk menjadi pemimpin. Ramai lagi ahli-ahli PKR yang mempunyai karisma dan ciri-ciri seorang pemimpin yang harus diketengahkan. Reformasi di peringkat parti perlu diadakan sebelum reformasi ke peringkat Negeri dan Negara dilaksanakan.

Currently have 0 comments: